Followers


Tengok tak Cinta Elysa ni? Minggu ni baru episod ke lima kot..... Tak tahan tengok watak hero dia, Johan Arif (Botak Juvana) jadi samseng selamba.. Hehe.. Dialog catchy dan senang buat aku and my hubby tergelak :P Sekali tengok patutlah, penulis skrip ialah penulis novel, Sharifah Abu Salem..

Tak sabar nak tunggu episod seterusnya.. Hehe..

Sebelum memberi makanan bayi

Thursday, October 20, 2011 | 0 Comments

Tip-tip mudah tentang bagaimana untuk menyedia dan memberi makanan untuk bayi anda.

Bagaimanakah untuk memulihara vitamin dalam makanan bayi saya? 
Jika boleh, sediakan makanan sebaik saja anda memerlukannya. Vitamin C dan setengah vitamin B akan hilang dengan perlahan apabila makanan dipotong, dimasak atau didedahkan kepada udara dan dipuri. Lebih banyak pemerosesan yang dilalui buah dan sayur, lebih banyak nutrien akan hilang.

Jika anda menyediakan jumlah makanan yang cukup untuk dua hidangan, sejukkannya dengan cepat dan masukkan ke dalam peti ais atau penyejuk beku. Penyejukbekuan adalah cara paling baik untuk memulihara vitamin dalam makanan yang telah disediakan. Menyejukbeku makanan lembut dalam bekas penyejuk ais atau mangkuk kecil adalah cara baik untuk menyimpannya. Anda boleh mengeluarkan sejumlah yang diperlukan oleh bayi untuk setiap sarapan.

Jika anda memberikan bayi anda sayur yang berlebihan dari makan malam hari sebelumnya, makanan ini telah hilang sebahagian daripada vitamin C yang ada. Jadi berikan bayi anda sedikit buah-buahan untuk menambah pengambilan vitamin C oleh bayi.
Apakah tekstur yang sesuai bagi makanan bayi saya?
Sebagai panduan kasar, sediakan makanan lumat semasa bayi anda baru hendak mula mencuba pepejal. Apabila bayi anda sudah biasa dengan makanan selain dari susu, jenis makanan yang boleh dihidangkan bertambah, dan tekstur menjadi penting.

Anda boleh mula memperkenalkan makanan yang ada sedikit ketulan sebaik saja bayi anda sekitar usia tujuh hingga sembilan bulan. Lenyekkan saja makanannya dan jangan purikan.

Apabila bayi anda pandai memegang barang, keseronokannya memakan makanan jejari bermula dan dia mungkin mahu cuba makan dengan sendiri.

Jika anda menyuap dengan sudu, satu taktik baik ialah memberi bayi satu sudu untuk dipegangnya.

Jika bayi anda di usia enam atau tujuh bulan suka menggunakan gusi untuk mengunyah karot dan kekacang yang dimasak, dia mungkin akan sukakan sandwic lembut, berisi, pada usia lapan atau sembilan bulan dan dari umur sembilan bulan dan seterusnya, anda boleh memberikan dia makanan yang dicincang.

Setiap bayi berbeza, tetapi jangan berlengah untuk memperkenalkan makanan ketul-ketulan dan yang lebih kasar. Bayi-bayi yang diberi makanan puri leceh untuk jangka masa yang lama boleh membuatkan dia enggan makan ketul-ketul yang kecil pun.

Nutrien manakah penting? 
Semasa hari-hari awal bercerai susu, membiasakan bayi anda dengan makanan pepejal adalah tujuan utama anda. Apabila dia sudah biasa dengan sensasi-sensasi baru dalam mulutnya, bolehlah anda memberi fokus kepada nutrien-nutrien yang diperlukannya.

Berikut ialah nutrien penting untuk bayi anda:
zat besi;
kalsium;
vitamin C;
vitamin A (ini diberi nama beta karotena dalam makanan sayuran);
asid lemak omega 3.


Pantang larang: Bertungku

Thursday, October 20, 2011 | 1 Comments

Bertungku dan berbengkung adalah asas kepada amalan-amalan pantang-larang bagi ibu baru dalam budaya Melayu. Sebelum berbengkung, wanita bertungku.

Salah satu sebab utama bertungku ialah untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku. Darah dan lendir (lokia) mestilah mengalir keluar sepanjang tempoh pantang 44 hari mengikut kepercayaan Melayu. Rahim tidak akan bersih sepenuhnya jika darah berhenti awal dan ini mengugatkan kesihatan. Jadi, tujuan bertungku dan memakan jamu ialah untuk memastikan semua kotoran dan toksin dikeluarkan dari badan.
Dikatakan bertungku juga:
memecahkan lemak;
mengecutkan rahim dan organ yang bengkak akibat bersalin;
mengembalikan semuanya kepada keadaan asal.
Rahim juga disengkak ke atas untuk mengelakkan daripada rahim jatuh dan penyakit tombong di usia tua.

Bakarlah tungku dan balutlah dengan daun serai, lengkuas, pandan, dan lain-lain, kemudian lapitlah dengan kain. Bertungkulah selama sejam, tapi jika masa tidak mengizinkan, sekurang-kurangnya setengah jam. Tungkukan paha juga.

Malah, di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Ismail di Johor Baru, amalan jagaan perbidanan termasuk urut selepas bersalin, bertungku dan berbengkung. Ibu-ibu baru yang melahirkan bayi secara normal di kedua-dua hospital ini boleh memilih untuk menerima jagaan dari Unit T&CM ini.

Ibu baru yang mengamalkan pantang-larang sebenarnya membuat pilihan untuk mengikuti satu siri upacara dan sekatan diet selama 44 hari. Ini bertujuan untuk membantu dia pulih sepenuhnya kekuatan fizikal dan emosi selepas mengandung dan melahirkan anak.

Mandi-mandian herba dan akar kayu 
Satu komponen penting dalam amalan pantang-larang bagi ibu baru ialah mandi air rebusan herba, akar kayu dan rempah. Ia dipercayai akan:
mengembalikan kecergasan;
membuangkan angin;
menghilangkan bau hanyir;
merawat urat yang terputus
.
Menyediakan mandian herba 
Ibu-ibu baru hari ini biasanya membeli set rumusan untuk dimasak di rumah. Anda boleh membelinya dari pusat-pusat penjagaan pantang (juga dipanggil pusat rawatan bersalin).

Set mandian herba juga boleh dibeli sebagai sebahagian pakej yang termasuk penjagaan selepas bersalin, produk herba dan makanan tambahan, semua tersusun dan dijarakkan mengikut amalan-amalan dan jadual berpantang 44 hari. Beberapa pakej boleh merangkumi perkhidmatan bidan urut dan persediaan amalan-amalan pantang yang lain.

Amalan-amalan berpantang yang lain 
Terdapat beberapa amalan pantang-larang yang jarang diikuti hari ini, lazimnya kerana ibu baru di kota dan bandar kekurangan struktur sokongan tradisional dan masa untuk membolehkan mereka memerhatikan setiap aspek berpantang dengan sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, ada juga pakej dari pusat-pusat penjagaan pantang yang merangkumi amalan-amalan ini:
Cucian untuk bahagian sulit yang bertujuan untuk membersih, membunuh kuman dan juga menyembuh dan merapatkan vagina untuk kembali kepada keadaan asal.
Ada juga amalan rendaman faraj yang dikatakan efektif untuk menyembuhkan jahitan.
Minyak sapu digunakan di perut, di kaki dan lain-lain tempat yang terasa lenguh atau sakit. Ini menghilangkan angin, melegakan kesakitan dan melicinkan kulit.
Lulur digunakan untuk melicin, melembut, menyerah dan memutihkan kulit.
Lain-lain amalan seperti berdiang, bertangas dan pilis amat jarang dilakukan oleh wanita Melayu moden sebab kekangan tertentu.


Bagaimana saya boleh dapatkan penjagaan pantang yang baik?
Tanyalah orang yang lebih berpengalaman.
Tanya ibu anda atau ibu mertua, atau kawan yang baru melahirkan, atau rakan sekerja.
Bincanglah dengan ibu-ibu lain! Komuniti ibu mengandung kami mungkin boleh membantu.

Pantang larang: Jamu

Monday, October 17, 2011 | 0 Comments

Apa yang boleh dan tidak boleh saya makan?
Di mana saya boleh mendapatkan jamu?

Jamu adalah dianggap sebahagian yang penting dalam amalan-amalan berpantang. Adalah dipercayai bahawa jamu dan makanan yang betul boleh membantu ibu-ibu baru mendapatkan semula tenaga mereka dan menyembuhkan selepas kerja mengandung dan melahirkan anak. 
Jamu juga dikatakan berkhasiat untuk:
mengembalikan tenaga;
memanaskan badan;
mengeluarkan lemak dan toksin;
dan, melawaskan ke bilik air.
Mengikut Datin Sharifah Anisah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, apabila semua toksin keluar, badan akan berbau harum dan berat badan pun akan turun. Makan jamu selama 44 hari memastikan yang segala kotoran dan toksin keluar dari dalam badan. Segala organ, otot dan urat, juga, akan mengecut dengan jamu dan kandungan air berlebihan dalam badan akan keluar. Jamu membuang angin dan menghempiskan perut. 

Apa yang boleh dan tidak boleh saya makan? 
Ibu atau ibu mertua anda, atau pembantu khas anda, akan menyarankan anda memakan jamu serta herba panas seperti halia. Bidan biasanya menggalakkan makan kunyit banyak-banyak sebagai ulam atau jus sebab ia berkhasiat untuk mengecutkan rahim. 

Anda mungkin juga digalakkan berpantang dari:
mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang "sejuk";
memakan hidangan berminyak;
meminum air ais atau minum secara berlebihan sebab perut yang kembang akan sukar untuk mengecut.

Di mana saya boleh mendapatkan jamu? 
Mengikut tradisi, bidan kampung yang mengurut ibu baru dan menemani sepanjang tempoh pantang juga akan merumuskan jamu. 

Kini, selain menempahkan jamu khas dari bidan kampung, ibu moden boleh membeli set jamu cukup untuk tempoh pantang 44 hari. Jamu NR popular di Malaysia di samping Bidan Ratu, jamu Mak Dara dan jamu Afiat. Nyonya Maneer dan Mustika Ratu dari Indonesia juga digemari. 

Pantang larang: Urut-mengurut

Sunday, October 16, 2011 | 0 Comments

Faedah urutan tradisional selepas bersalin

Mengikut tradisi, wanita Melayu yang baru bersalin dinasihatkan berurut sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut; kalau boleh lebih, lagi baik. 

Faedah urutan tradisional selepas bersalin 
Mengikut Datin Sharifah Anisah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, urutan selepas bersalin akan:
melancarkan perjalanan darah;
mengeluarkan darah (lokia)yang terperangkap dan tertakung;
menaikkan rahim;
membetulkan urat tegang, terputus atau yang terkeluar dari tempatnya;
memecahkan lemak;
mengetat dan membentuk tubuh;
mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan selepas kerja keras melahirkan anak.
Yang menariknya, urutan traditional selepas bersalin termasuk urutan di bahagian payudara juga, dengan kepercayaan ia akan melancarkan susu ibu. 

Malah, di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Hospital Putrajayadan Hospital Sultan Ismail di Johor Baru, program kesihatan posnatal Melayu juga merangkumi urut payudara. Ibu-ibu baru juga diajar teknik ini supaya mereka dapat melakukannya di rumah. 

Ibu-ibu baru yang melahirkan anak mereka secara normal di hospital-hospital tersebut (unit T&CM ini tidak terdapat dalam mana-mana hospital kerajaan yang lain pada masa ini) boleh menikmati urutan tradisional sebagai sebahagian daripada jagaan perbidanan. 

Siapakah yang akan mengurutkan saya? 
Mengikut tradisi, bidan kampung yang berpengalaman dalam semua aspek penjagaan ibu sebelum dan selepas bersalin akan pergi ke rumah ibu baru untuk mengurutnya dan membantu beliau menjaga bayi. 

Dalam persekitaran bandar hari ini, di mana banyak pasangan muda tinggal jauh dari keluarga masing-masing, sistem sokongan ini tidak lagi menjadi pilihan. 

Untuk mencari tukang urut yang baik, anda mempunyai beberapa pilihan.
Tanya ibu anda atau ibu mertua, rakan-rakan yang telah baru-baru ini mempunyai bayi atau rakan sekerja jika mereka tahu sesiapa sahaja yang baik.
Perkhidmatan pusat-pusat rawatan bersalin dan penjagaan dalam pantang yang menyediakan pakej lengkap dengan urut, bengkung dan jamu.

Pantang larang: bengkung

Saturday, October 15, 2011 | 0 Comments



Dimanakah mendapatkan bengkung?

Tidak boleh dinafikan betapa pahit-manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran. Namun begitu, amalan berpantang masih dilalui dengan tekun dan rela oleh sebilangan besar wanita Melayu. Sebabnya? Dikatakan wanita yang baru melahirkan anak dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu menarik minat suami.

Terdapat beberapa amalan-amalan berpantang yang masih diamalkan secara meluas hari ini, tetapi berbengkung adalah amalan utama.

Dimanakah mendapatkan bengkung? 
Pada suatu masa dahulu, kain bengkung dijahit oleh seorang ibu bagi anaknya yang hamil. Kini, anda boleh membeli bengkung dan tak perlu menjahitnya seperti dahulu. Belilah dari Internet atau kedai-kedai tertentu.

Anda boleh pilih antara tiga jenis bengkung:
1. Bengkung barut yang sama seperti barut kanak-kanak.
2. Bengkung Mia yang lebar dan diikat bersilang-seli dari bawah ke atas.
3. Bengkung Jawa atau bengkung lilit yang merupakan kain lebar (sepanjang 15m) dililit kemas pada badan.
Pemakaian sempurna 
Anda perlu memakai bengkung berkualiti tinggi yang boleh dipakai secara ketat sepanjang hari dan tidak terurai sampai masa mandi petang atau hari kemudiannya. Bengkung hendaklah dipakai sepanjang masa, siang dan malam (namun sekarang ada wanita yang memakainya untuk beberapa jam sahaja dalam sehari).

Pastikanlah ia dipakai secara betul, iaitu bermula dari bawah, tutupkan semua abdomen, dan ikat sampai ke bahagian di bawah payudara.

Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, bengkung yang terlalu pendek atau tidak dipasang dengan betul akan menjejaskan pemulihan rahim sebab rahim akan tertolak ke bawah.
Lapitlah bengkung dengan kain buruk supaya tidak kotor, kemudian alaskan dengan daun-daunan seperti daun pandan atau lengkuas.
Sapukan minyak dengan ramuan rempah dan herba; sapu juga di bahagian belakang.
Jika sukar untuk mendapatkan daun-daunan herba, gunakanlah ubat krim bengkung yang boleh dibeli di kedai.

Faedah berbengkung
"Kehamilan dan pelahiran mengganggu badan wanita dan kesemua otot-otot, tulang, urat, sendi, dan lain-lain, sudah bertukar keadaan dan menjadi kembang dan bengkak disebabkan pengaruh hormon hamil," kata Datin Sharifah. "Bengkung boleh menghempiskan perut, mengecutkan rahim bengkak dan merapatkan vagina yang telah regang dan longgar."

Ia juga dipercayai bahawa berbengkung juga boleh membantu:
mengempiskan perut dan mengurangkan berat badan supaya potongan badan kembali kepada bentuk asal;
melindungi organ dalaman dan membolehkannya lebih cepat kecut dan kembali ke tempat asal;
mengetatkan perut dan otot-otot yang longgar semasa kehamilan;
menggalakkan postur yang baik, justeru, membantu penyusuan bayi;
memecahkan lemak dan selulit;
mencegah dari makan berlebihan.

Sepatutnya, tidak hanya amalan berbengkung yang harus diikuti. Amala-amalan lain seperti urut, bertungku, jamu dan mandian herba melengkapkan amalan pantang larang. Dikatakan pantang yang diikuti dengan taat dan sempurna boleh membantu ibu baru mengurangkan berat badan serta mengimbangi paras hormon mereka.

Baca lebih lanjut mengenai amalan-amalan berpantang selepas bersalin dan simptom selepas bersalin yang tidak boleh anda abaikan.

Jika anda tidak pasti mengenai pendekatan yang betul untuk berpantang, atau hanya mahu beberapa tip tentang amalan-amalan pantang-larang, bincanglah dengan ibu-ibu lain atau yang lebih berpengalaman.

Pantang larang selepas bersalin

Saturday, October 15, 2011 | 0 Comments

Betapa pahit dan manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Walaupun tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran, boleh dikatakan sebilangan besar wanita Melayu masih tekun dan rela mengikut tradisi ini. Dikatakan wanita yang rajin berpantang dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekal minat suami.

Sesungguhnya, amalan-amalan pantang adalah satu proses menyeluruh, bertujuan untuk memeliharakan kesihatan dan kewanitaan perempuan Melayu. Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, kepercayaan berpantang berpaksikan kepada penyembuhan rahim yang dikatakan merupakan "penyawa" wanita yang menentukan kesihatan diri keseluruhan. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan menarik pada pandangan. Tidak hairanlah jika wanita Melayu masih berpegang kepada amalan berpantang.

Disamping itu, ada kajian moden yang menyokong peranan yang dimainkan oleh bidan kampung yang mendamping ibu selepas bersalin. Kajian juga mendapati yang beberapa amalan pantang-larang ada kebaikannya. Antaranya, perlanjutan tempoh penyusuan ibu, larangan atas pergerakan ibu yang berlebihan dan urut-mengurut.

Pakar-pakar antropologi menerangkan bahawa asas amalan pantang-larang kaum Melayu berlandaskan teori empat elemen berkurun dahulu. Elemen-elemen itu ialah:
tanah, yang bersifat kering;
api, bersifat panas;
udara, sejuk;
dan, air, bersifat basah.
Elemen-elemen ini mestilah berada dalam keadaan seimbang pada badan seseorang.

Ilmu perbidanan juga dikatakan satu anugerah Tuhan bagi individu dan keluarga yang terpilih sahaja, dengan tujuan supaya mereka membantu wanita dari semua lapisan masyarakat. Bidan kampung dianugerahkannya bagi membantu wanita desa.

Kini, wanita Melayu di bandar tidak dapat melakukan kesemua pantang-larang sebab tiada keluarga dan masyarakat keliling untuk menyokong seperti kehidupan masyarakat di kampung dahulu. Mengikut tradisi, ibu baru akan dibantu dan ditemani oleh:
bidan kampung;
pengasuh khusus;
emak sendiri atau ibu mertua.
Memang diakui bahawa tanpa orang lain membantu, ia akan sukar untuk mengamalkan pantang dengan lengkap dan sempurna selama 44 hari.

Namun begitu, beberapa amalan utama masih banyak dipraktikkan oleh wanita Melayu iaitu
Bengkung
Urut-mengurut
Jamu
Bertungku
Mandi-mandian herba dan akar kayu, serta amalan-amalan lain

Time For Your Family

Friday, October 07, 2011 | 0 Comments

Set aside a specific time for family time. Mark the date and time on the calendar and make this a priority.

Decide on what activities you would like to share with your family. Set out games, if that is what you decide to do.
Another family activity could be watching movies together.
Reading aloud maybe old-fashioned but it is still an enjoyable activity shared by some families.
Plan a sports outing. Plan to attend a football or basketball game for example. Go skating or share another sports related family group activity.
Go camping or hiking. Both activities are relatively inexpensive and promote family bonding.
Bake or cook together. Sharing time in the kitchen not only promotes family togetherness but teaches a needed skill.
Take opportunities when they appear. If your mom asks if you want to go for a walk with her, or your dad asks if you want to go with him to return a movie, say yes. It is worth it.
Mendapatkan anak pergi tidur, dan terus tidur, adalah salah satu cabaran terbesar keibubapaan awal. Mujurlah, kami boleh membantu anda mengelakkan kesilapan tidur yang paling biasa dan menambahkan peluang anda untuk mendapat rehat malam yang baik.

Kesilapan 1: Membiarkan anak anda tidur terlalu lewat
Setelah bekerja sepanjang hari, anda memang mahukan bayi atau anak kecil anda berjaga supaya anda dapat meluangkan lebih masa dengannya. Atau mungkin anda berharap dia akan menjadi begitu letih, lambat laun dia akan tertidur...

Apa pun alasannya, bukanlah satu idea yang baik untuk membiarkan anak anda berjaga. Apabila bayi dan anak kecil menjadi letih, lebih susah untuk mereka tidur dan terus tidur. Mereka cenderung untuk bangun lebih awal jika tidur lambat daripada jika mereka masuk tidur pada waktu yang lebih munasabah.

Adalah lebih baik untuk menetapkan rutin tidur dan mengikutinya. Jangan tunggu sehingga anak anda menguap dan menggosok-gosok matanya sebelum menidurkannya. Tidur tambahan 15 hingga 20 minit boleh mendatangkan kesan yang baik.

Kesilapan 2: Bergantung kepada pergerakan 
Pernahkah anda menarik nafas lega setelah bayi anda tertidur di tempat duduk kereta atau dalam sarung? Meskipun ini memberikan anda rehat yang diperlukan, jangan terperangkap sehingga bayi bergantung kepada pergerakan sebelum dapat tidur. Adalah tidak praktikal untuk membawa bayi anda bersiar-siar dalam kereta setiap malam. Dia juga tidak akan mendapatkan tidur nyenyak yang menyegarkan yang diperlukannya.

Adalah okey untuk menggunakan pergerakan untuk menenangkan bayi anda jika dia terganggu atau merungut. Cuma jangan jadikan ini sebahagian rutin waktu tidurnya yang biasa.

Kesilapan 3: Terlalu terangsang
Anda mungkin meletakkan mainan bergantung di katil bayi anda untuk menenangkannya. Namun, mainan berputar, bunyi-bunyian dan cahaya-cahaya boleh menjadi gangguan. Jika mereka asyik memerhatikannya, ia boleh membuat bayi berjaga dan mereka tidak akan mengerti bila tiba masanya untuk tidur malam.

Adalah lebih baik untuk meletakkan bayi anda tidur di dalam bilik yang betul-betul gelap. Jangan bimbang yang dia akan takut. Dia terlalu muda untuk mengerti perasaan ketakutan di waktu malam. Kipas atau album jenis white noise juga boleh membantu, sebab ia boleh menenggelamkan bunyi-bunyi lain dari seluruh rumah atau di luar.

Apabila anak anda lebih tua, cahaya malam yang lembut boleh menenangkan sebarang ketakutan dia. Jangan biarkan dia menonton televisyen sebelum tidur. Tertidur semasa menonton DVD kegemarannya bermakna dia mungkin akan kehilangan tidur untuk selama setengah jam yang penting baginya. Ini boleh menjejaskan ketenteraman dan perangainya pada keesokan hari, yang anda tentu tak mahukan!

Kesilapan 4: Tidak mematuhi rutin waktu tidur
Ketika anak anda bayi, anda mungkin merasakan bahawa rutin yang terdiri daripada mandi, buku cerita dan lagu ninabobok tidak lagi diperlukan. Apabila anak anda meningkat usia, anda mungkin merasakan yang dia terlalu tua untuk rutin tidur. Atau mungkin anda berasa terlalu bosan untuk meneruskannya.

Tetapi mempunyai satu siri aktiviti-aktiviti sebelum tidur yang menenang serta menyenangkan adalah penting, sebab ia menyediakan anak anda untuk tidur. Orang dewasa juga mendapat manfaat daripada mengadakan beberapa rutin untuk mententeramkan diri setiap malam. Anda tidak boleh mengharapkan anak anda untuk terus tidur jika hari yang dilaluinya sebelum itu adalah sibuk. Sudah tentu dia tidak akan mendapatkan tidur yang diperlukan.

Anda boleh membuat apa-apa rutin yang anda suka untuk anak anda. Hanya pastikan ia adalah satu siri langkah-langkah yang menyamankan yang berlaku dalam susunan yang sama pada masa yang sama setiap malam.

Kesilapan 5: Ketidakkonsistenan
Beberapa kali seminggu, apabila dia tidak mahu berenggang dengan anda, memang lebih senang untuk membawakan anak kecil anda ke katil anda dan menunggu sehingga dia tertidur. Atau mungkin anda meletakkan anak prasekolah anda di dalam biliknya tetapi membenarkan dia naik ke katil untuk bersama anda pada waktu malam. Tanpa disedari, katil pasangan suami-isteri menjadi katil keluarga.

Anak anda tidak akan memahami mengapa kadangkala anda membawanya ke katilnya sendiri tetapi di masa lain anda membiarkannya di katil anda. Dia akan terus mengamuk sehingga anda membiarkan dia bermalam dengan anda, setiap malam.

Jika anda mendapati diri anda dalam situasi ini, undurkan anak anda dari katil anda secara perlahan-lahan. Duduklah di sebelah katilnya semasa dia nak tidur. Kemudian, selepas beberapa malam duduklah di muka pintu, sebelum meninggalkan bilik terus. Terangkan kepadanya bahawa apabila tiba masanya untuk tidur, dia mesti tidur di tempat tidurnya sendiri. Bertegaslah secara berlembut dan anda akan dapat mengubah keadaan.

Kesilapan 6: Berpindah ke katil besar terlalu awal 
Jika anda mengalihkan anak anda dari kot bayi ke katil terlalu awal, anda mungkin mendapati yang dia suka merayau di sekitar rumah pada awal pagi. Sebelum usia tiga tahun, anak anda tidak mempunyai pemahaman atau kawalan diri untuk tetap tinggal di sekitar sempadan katil yang kurang nyata baginya.

Jalan terbaik ialah dengan mengenakan tempoh percubaan baginya di katil besar. Jika selepas seminggu ini tidak mendatangkan hasil, maka tidak salah bagi mengembalikan dia ke kot. Cuba pindahkannya semula ke katil setelah beberapa bulan berlalu. Cuma ingat bahawa tiada kanak-kanak yang bersekolah yang masih tidur di kot, dan anak anda pun akan begitu juga. Cuba relaks saja tentang hal ini.
Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Selimutkan dia dan peluk dengan rapi
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibubapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Bayi lain mendapati bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

Dapatkan ritma yang teratur 
Dalam rahim, bayi anda boleh kedengaran denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, lain bunyi yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibubapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh kain yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang akan menidurkan dia dalam sedikit masa. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain - bila-bila masapun, letakkan dia atas lantai berdekatan dengan mesin itu.)

Buai-buaikan bayi 
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan, dan anda akan mendapati bahawa bayi anda akan bertenang akibatnya, samada anda berjalan-jalan sambil menghayunkan dia atau duduk dengannya atas kerusi goyang. Buaian khas bayi boleh menenangkan setengah bayi, tetapi bayi lain lebih selesa dengan keadaan yang lebih pantas dan akan tidur sebaik saja mereka dibawa berjalan dalam kereta.

Cubakan urutan 
Memberi bayi anda urutan atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkan dia. Jika dia ternampak seakan-akan kesakitan disebabkan angin, cuba menyusukan dia dalam posisi tegak dan menepuk dia selepas penyusuan dengan menyandarkan dia di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadangkala terasa reda jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu 
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan ketenangan yang banyak. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.
Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda 
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibubapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira berada di sini dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan dia atau menenangkan dia, ini akan menyebabkan anda merasa tidak disayangi selain kecewa. Ibubapa sering menyalahkan diri sendiri, merasakan yang ketidakcekapan mereka sebagai ibubapalah yang menyebabkan tangisan itu, tetapi ini bukan hakikatnya. Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi, dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segalanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak terasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:

• Tarik nafas panjang. 


• Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda. 


• Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakslah sendiri untuk 10 minit. 


• Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap. 


• Berbincanglah dengan doktor dan kumpulan sokongan dan kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi pengalaman dan berbincang dengan lain-lain ibu dan bapa cara menangani tangisan itu. 


• Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan. 


• Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu. 

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan menunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Dengan perlahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.

Tujuh sebab bayi menangis

Monday, October 03, 2011 | 0 Comments

Apakah sebabnya bayi menangis? 
Semua bayi menangis pada masa-masanya. Mereka perlu menangis. Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga sebanyak satu hingga tiga jam sehari. Disebabkan mereka tak dapat membuat sebarang apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu salah satu daripada keperluan itu. 


Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang diperlukan bayi - adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau mahu dipeluk? Di hari-hari awal, apabila anda belum lagi tahu bagainama untuk menentukan keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. 


Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisan bayi anda yang berlainan dan, setelah anda lebih mengenalinya, akan dapat mendahului keperluannya.
 
Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan mata, membuat bunyi-bunyian, dan juga dengan senyuman, semuanya mengurangkan keperluan untuk menangis. Sebab-sebab biasa bayi menangis disenaraikan di bawah. Jika anda mempunyai bayi yang susah untuk ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan terasa senang hati sebab anda telah pun cuba memenuhi keperluan dia seberapa banyak yang boleh. 
1. Saya perlukan makanan 
Kelaparan adalah sebab utama bayi baru menangis. Lebih muda bayi itu, lebih kemungkinan dia menangis sebab dia lapar. Pengecualian kepada ini ialah pada masa sehari dua selepas kelahiran, apabila bayi makan amat sedikit. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, sebab susu terawal kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit dan anda juga sedar bahawa susu "mula datang" sekitar hari ketiga. Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak, jadi, jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu, sebab besar kemungkinannya dia lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tetapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi. Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya. 
2. Saya perlukan keselesaan 
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor mengganggu mereka. Setengah bayi tidak membantah jika lampin mereka penuh - ia cuma terasa panas dan selesa bagi mereka - manakala yang lain akan menjerit dan minta ditukarkan dengan serta merta, terutama sekali jika kulit mereka terasa jengkel. Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluan dia, jadi memang elok mencuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain bersabit pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa. 
3. Saya perlu nyaman dan selesa - tidak terlalu panas atau sejuk 
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan - mereka tidak biasa merasakan udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula. Namun begitu, berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingatkan yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk selesa. 


Jika dia berada di kot atau raga pembawanya, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai kain penutup bukan duvet untuk membolehkan anda menambah atau membuangkan satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan merasa perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya, sebab adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk. Memang mudah untuk membeli termometer di Malaysia (kebanyakan farmasi menjualnya) dan anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi anda jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 darjah C / 75.2 darjah F, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung kot supaya dia tak boleh turun bergeliang geliut sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas. 
4. Saya perlu dipeluk 
Setengah bayi sangat perlu dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih tua akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi, bayi baru lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk. Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika dia didukung berlebihan, tetapi semasa bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini tidak mungkin. Separuh bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membenarkan bayi anda rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk menjalankan kerja lain; ini mungkin penyelesaian yang akan membuat anda berdua bahagia. 
5. Saya perlukan rehat 
Memang senang untuk menyangkakan yang bayi akan tertidur apabila mereka terasa nak tidur, di manapun mereka berada, sebab kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang. Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa - cahaya lampu, bunyi bising, di hulurkan dari seorang saudara tersayang kepada yang lain - hingga boleh menjadi gelisah. Ramai ibubapa mendapati bayi menangis lebih dari biasa apabila suadara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika tidak ternampak sebab spesifik bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus dapat tidur. 
6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sejahtera 
Jika anda telah pun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka, ibubapa buat pertama kali, sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi menangis sebab dia sebenarnya seorang yang bersifat sedih (separuh bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena. Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa - ianya mungkin berbunyi cemas atau nyaring. Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula berdiam ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasakan mungkin ada masalah tertentu, hubungilah ahli pediatrik atau doktor keluarga anda. Ahli kesihatan profesional lazimnya akan mempertimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda mestilah memanggil doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila dia menangis, atau jika tangisan diikuti dengan:
muntah-muntah
diarea
konstipasi



7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu 
Kadangkala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa bila mana dia meragam dan tidak senang untuk dipujuk. Ketidak gembiraan boleh berbeza antara tangisan yang berlanjutan beberapa minit dan tidak boleh dipujuk kepada tangisan beberapa jam pada satu-satu masa, tangisan yang tak berhenti-henti yang kadangkala dikenali sebagai kembung kolik. Kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlalu selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang dari tiga hari dalam seminggu. Ramai ibubapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga. Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, itu mungkin membantu.



Semoga dengan info ini dapat membantu kita dalam memahami karenah anak-anak.

Follow by Email

About