Followers

Sebelum memberi makanan bayi

Thursday, October 20, 2011 | 0 Comments

Tip-tip mudah tentang bagaimana untuk menyedia dan memberi makanan untuk bayi anda.

Bagaimanakah untuk memulihara vitamin dalam makanan bayi saya? 
Jika boleh, sediakan makanan sebaik saja anda memerlukannya. Vitamin C dan setengah vitamin B akan hilang dengan perlahan apabila makanan dipotong, dimasak atau didedahkan kepada udara dan dipuri. Lebih banyak pemerosesan yang dilalui buah dan sayur, lebih banyak nutrien akan hilang.

Jika anda menyediakan jumlah makanan yang cukup untuk dua hidangan, sejukkannya dengan cepat dan masukkan ke dalam peti ais atau penyejuk beku. Penyejukbekuan adalah cara paling baik untuk memulihara vitamin dalam makanan yang telah disediakan. Menyejukbeku makanan lembut dalam bekas penyejuk ais atau mangkuk kecil adalah cara baik untuk menyimpannya. Anda boleh mengeluarkan sejumlah yang diperlukan oleh bayi untuk setiap sarapan.

Jika anda memberikan bayi anda sayur yang berlebihan dari makan malam hari sebelumnya, makanan ini telah hilang sebahagian daripada vitamin C yang ada. Jadi berikan bayi anda sedikit buah-buahan untuk menambah pengambilan vitamin C oleh bayi.
Apakah tekstur yang sesuai bagi makanan bayi saya?
Sebagai panduan kasar, sediakan makanan lumat semasa bayi anda baru hendak mula mencuba pepejal. Apabila bayi anda sudah biasa dengan makanan selain dari susu, jenis makanan yang boleh dihidangkan bertambah, dan tekstur menjadi penting.

Anda boleh mula memperkenalkan makanan yang ada sedikit ketulan sebaik saja bayi anda sekitar usia tujuh hingga sembilan bulan. Lenyekkan saja makanannya dan jangan purikan.

Apabila bayi anda pandai memegang barang, keseronokannya memakan makanan jejari bermula dan dia mungkin mahu cuba makan dengan sendiri.

Jika anda menyuap dengan sudu, satu taktik baik ialah memberi bayi satu sudu untuk dipegangnya.

Jika bayi anda di usia enam atau tujuh bulan suka menggunakan gusi untuk mengunyah karot dan kekacang yang dimasak, dia mungkin akan sukakan sandwic lembut, berisi, pada usia lapan atau sembilan bulan dan dari umur sembilan bulan dan seterusnya, anda boleh memberikan dia makanan yang dicincang.

Setiap bayi berbeza, tetapi jangan berlengah untuk memperkenalkan makanan ketul-ketulan dan yang lebih kasar. Bayi-bayi yang diberi makanan puri leceh untuk jangka masa yang lama boleh membuatkan dia enggan makan ketul-ketul yang kecil pun.

Nutrien manakah penting? 
Semasa hari-hari awal bercerai susu, membiasakan bayi anda dengan makanan pepejal adalah tujuan utama anda. Apabila dia sudah biasa dengan sensasi-sensasi baru dalam mulutnya, bolehlah anda memberi fokus kepada nutrien-nutrien yang diperlukannya.

Berikut ialah nutrien penting untuk bayi anda:
zat besi;
kalsium;
vitamin C;
vitamin A (ini diberi nama beta karotena dalam makanan sayuran);
asid lemak omega 3.


Pantang larang: Bertungku

Thursday, October 20, 2011 | 0 Comments

Bertungku dan berbengkung adalah asas kepada amalan-amalan pantang-larang bagi ibu baru dalam budaya Melayu. Sebelum berbengkung, wanita bertungku.

Salah satu sebab utama bertungku ialah untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku. Darah dan lendir (lokia) mestilah mengalir keluar sepanjang tempoh pantang 44 hari mengikut kepercayaan Melayu. Rahim tidak akan bersih sepenuhnya jika darah berhenti awal dan ini mengugatkan kesihatan. Jadi, tujuan bertungku dan memakan jamu ialah untuk memastikan semua kotoran dan toksin dikeluarkan dari badan.
Dikatakan bertungku juga:
memecahkan lemak;
mengecutkan rahim dan organ yang bengkak akibat bersalin;
mengembalikan semuanya kepada keadaan asal.
Rahim juga disengkak ke atas untuk mengelakkan daripada rahim jatuh dan penyakit tombong di usia tua.

Bakarlah tungku dan balutlah dengan daun serai, lengkuas, pandan, dan lain-lain, kemudian lapitlah dengan kain. Bertungkulah selama sejam, tapi jika masa tidak mengizinkan, sekurang-kurangnya setengah jam. Tungkukan paha juga.

Malah, di Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Ismail di Johor Baru, amalan jagaan perbidanan termasuk urut selepas bersalin, bertungku dan berbengkung. Ibu-ibu baru yang melahirkan bayi secara normal di kedua-dua hospital ini boleh memilih untuk menerima jagaan dari Unit T&CM ini.

Ibu baru yang mengamalkan pantang-larang sebenarnya membuat pilihan untuk mengikuti satu siri upacara dan sekatan diet selama 44 hari. Ini bertujuan untuk membantu dia pulih sepenuhnya kekuatan fizikal dan emosi selepas mengandung dan melahirkan anak.

Mandi-mandian herba dan akar kayu 
Satu komponen penting dalam amalan pantang-larang bagi ibu baru ialah mandi air rebusan herba, akar kayu dan rempah. Ia dipercayai akan:
mengembalikan kecergasan;
membuangkan angin;
menghilangkan bau hanyir;
merawat urat yang terputus
.
Menyediakan mandian herba 
Ibu-ibu baru hari ini biasanya membeli set rumusan untuk dimasak di rumah. Anda boleh membelinya dari pusat-pusat penjagaan pantang (juga dipanggil pusat rawatan bersalin).

Set mandian herba juga boleh dibeli sebagai sebahagian pakej yang termasuk penjagaan selepas bersalin, produk herba dan makanan tambahan, semua tersusun dan dijarakkan mengikut amalan-amalan dan jadual berpantang 44 hari. Beberapa pakej boleh merangkumi perkhidmatan bidan urut dan persediaan amalan-amalan pantang yang lain.

Amalan-amalan berpantang yang lain 
Terdapat beberapa amalan pantang-larang yang jarang diikuti hari ini, lazimnya kerana ibu baru di kota dan bandar kekurangan struktur sokongan tradisional dan masa untuk membolehkan mereka memerhatikan setiap aspek berpantang dengan sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, ada juga pakej dari pusat-pusat penjagaan pantang yang merangkumi amalan-amalan ini:
Cucian untuk bahagian sulit yang bertujuan untuk membersih, membunuh kuman dan juga menyembuh dan merapatkan vagina untuk kembali kepada keadaan asal.
Ada juga amalan rendaman faraj yang dikatakan efektif untuk menyembuhkan jahitan.
Minyak sapu digunakan di perut, di kaki dan lain-lain tempat yang terasa lenguh atau sakit. Ini menghilangkan angin, melegakan kesakitan dan melicinkan kulit.
Lulur digunakan untuk melicin, melembut, menyerah dan memutihkan kulit.
Lain-lain amalan seperti berdiang, bertangas dan pilis amat jarang dilakukan oleh wanita Melayu moden sebab kekangan tertentu.


Bagaimana saya boleh dapatkan penjagaan pantang yang baik?
Tanyalah orang yang lebih berpengalaman.
Tanya ibu anda atau ibu mertua, atau kawan yang baru melahirkan, atau rakan sekerja.
Bincanglah dengan ibu-ibu lain! Komuniti ibu mengandung kami mungkin boleh membantu.

About