Followers

Pantang larang: bengkung

Saturday, October 15, 2011 | 0 Comments



Dimanakah mendapatkan bengkung?

Tidak boleh dinafikan betapa pahit-manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran. Namun begitu, amalan berpantang masih dilalui dengan tekun dan rela oleh sebilangan besar wanita Melayu. Sebabnya? Dikatakan wanita yang baru melahirkan anak dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu menarik minat suami.

Terdapat beberapa amalan-amalan berpantang yang masih diamalkan secara meluas hari ini, tetapi berbengkung adalah amalan utama.

Dimanakah mendapatkan bengkung? 
Pada suatu masa dahulu, kain bengkung dijahit oleh seorang ibu bagi anaknya yang hamil. Kini, anda boleh membeli bengkung dan tak perlu menjahitnya seperti dahulu. Belilah dari Internet atau kedai-kedai tertentu.

Anda boleh pilih antara tiga jenis bengkung:
1. Bengkung barut yang sama seperti barut kanak-kanak.
2. Bengkung Mia yang lebar dan diikat bersilang-seli dari bawah ke atas.
3. Bengkung Jawa atau bengkung lilit yang merupakan kain lebar (sepanjang 15m) dililit kemas pada badan.
Pemakaian sempurna 
Anda perlu memakai bengkung berkualiti tinggi yang boleh dipakai secara ketat sepanjang hari dan tidak terurai sampai masa mandi petang atau hari kemudiannya. Bengkung hendaklah dipakai sepanjang masa, siang dan malam (namun sekarang ada wanita yang memakainya untuk beberapa jam sahaja dalam sehari).

Pastikanlah ia dipakai secara betul, iaitu bermula dari bawah, tutupkan semua abdomen, dan ikat sampai ke bahagian di bawah payudara.

Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, bengkung yang terlalu pendek atau tidak dipasang dengan betul akan menjejaskan pemulihan rahim sebab rahim akan tertolak ke bawah.
Lapitlah bengkung dengan kain buruk supaya tidak kotor, kemudian alaskan dengan daun-daunan seperti daun pandan atau lengkuas.
Sapukan minyak dengan ramuan rempah dan herba; sapu juga di bahagian belakang.
Jika sukar untuk mendapatkan daun-daunan herba, gunakanlah ubat krim bengkung yang boleh dibeli di kedai.

Faedah berbengkung
"Kehamilan dan pelahiran mengganggu badan wanita dan kesemua otot-otot, tulang, urat, sendi, dan lain-lain, sudah bertukar keadaan dan menjadi kembang dan bengkak disebabkan pengaruh hormon hamil," kata Datin Sharifah. "Bengkung boleh menghempiskan perut, mengecutkan rahim bengkak dan merapatkan vagina yang telah regang dan longgar."

Ia juga dipercayai bahawa berbengkung juga boleh membantu:
mengempiskan perut dan mengurangkan berat badan supaya potongan badan kembali kepada bentuk asal;
melindungi organ dalaman dan membolehkannya lebih cepat kecut dan kembali ke tempat asal;
mengetatkan perut dan otot-otot yang longgar semasa kehamilan;
menggalakkan postur yang baik, justeru, membantu penyusuan bayi;
memecahkan lemak dan selulit;
mencegah dari makan berlebihan.

Sepatutnya, tidak hanya amalan berbengkung yang harus diikuti. Amala-amalan lain seperti urut, bertungku, jamu dan mandian herba melengkapkan amalan pantang larang. Dikatakan pantang yang diikuti dengan taat dan sempurna boleh membantu ibu baru mengurangkan berat badan serta mengimbangi paras hormon mereka.

Baca lebih lanjut mengenai amalan-amalan berpantang selepas bersalin dan simptom selepas bersalin yang tidak boleh anda abaikan.

Jika anda tidak pasti mengenai pendekatan yang betul untuk berpantang, atau hanya mahu beberapa tip tentang amalan-amalan pantang-larang, bincanglah dengan ibu-ibu lain atau yang lebih berpengalaman.

Pantang larang selepas bersalin

Saturday, October 15, 2011 | 0 Comments

Betapa pahit dan manisnya pengalaman berpantang bagi wanita Melayu yang baru bersalin. Walaupun tempoh pantang selama 44 hari adalah suatu masa yang amat menguji kesabaran, boleh dikatakan sebilangan besar wanita Melayu masih tekun dan rela mengikut tradisi ini. Dikatakan wanita yang rajin berpantang dijamin akan mendapatkan kembali potongan badan yang asal, menjadi sihat dan cergas seperti sedia kala, kelihatan jelita dan mampu mengekal minat suami.

Sesungguhnya, amalan-amalan pantang adalah satu proses menyeluruh, bertujuan untuk memeliharakan kesihatan dan kewanitaan perempuan Melayu. Mengikut Datin Sharifah Anisah Barakbah, pengasas Nona Roguy (sekarang NR) dan penulis buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu, kepercayaan berpantang berpaksikan kepada penyembuhan rahim yang dikatakan merupakan "penyawa" wanita yang menentukan kesihatan diri keseluruhan. Rahim yang sihat menghasilkan ibu yang kelihatan berseri dan menarik pada pandangan. Tidak hairanlah jika wanita Melayu masih berpegang kepada amalan berpantang.

Disamping itu, ada kajian moden yang menyokong peranan yang dimainkan oleh bidan kampung yang mendamping ibu selepas bersalin. Kajian juga mendapati yang beberapa amalan pantang-larang ada kebaikannya. Antaranya, perlanjutan tempoh penyusuan ibu, larangan atas pergerakan ibu yang berlebihan dan urut-mengurut.

Pakar-pakar antropologi menerangkan bahawa asas amalan pantang-larang kaum Melayu berlandaskan teori empat elemen berkurun dahulu. Elemen-elemen itu ialah:
tanah, yang bersifat kering;
api, bersifat panas;
udara, sejuk;
dan, air, bersifat basah.
Elemen-elemen ini mestilah berada dalam keadaan seimbang pada badan seseorang.

Ilmu perbidanan juga dikatakan satu anugerah Tuhan bagi individu dan keluarga yang terpilih sahaja, dengan tujuan supaya mereka membantu wanita dari semua lapisan masyarakat. Bidan kampung dianugerahkannya bagi membantu wanita desa.

Kini, wanita Melayu di bandar tidak dapat melakukan kesemua pantang-larang sebab tiada keluarga dan masyarakat keliling untuk menyokong seperti kehidupan masyarakat di kampung dahulu. Mengikut tradisi, ibu baru akan dibantu dan ditemani oleh:
bidan kampung;
pengasuh khusus;
emak sendiri atau ibu mertua.
Memang diakui bahawa tanpa orang lain membantu, ia akan sukar untuk mengamalkan pantang dengan lengkap dan sempurna selama 44 hari.

Namun begitu, beberapa amalan utama masih banyak dipraktikkan oleh wanita Melayu iaitu
Bengkung
Urut-mengurut
Jamu
Bertungku
Mandi-mandian herba dan akar kayu, serta amalan-amalan lain

About